Tuesday 5 April 2011

10 - "HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN"


"Hikayat Iskandar Zulkarnain" ini sudah tidak asing lagi bagi orang-orang Melayu yang Beraja kerana nama Raja Iskandar Zulkarnain ini biasanya dihubungkan dengan nasab Raja-Raja Melayu.


"Sejarah Melayu" (Sulalatus Salatin) :-

"Ada pun nama kami dan bangsa kami bukan-nya daripada bangsa jin dan peri. Bahawa kami ini, bangsa manusia; asal kami daripada anak chuchu Raja Iskandar Zulkarnain, nasab kami daripada Raja Nusirwan, Raja Mashrik dan Magrib, dan panchar kami daripada Raja Sulaiman 'Alaihissalam dan nama Raja ini Bichitram Shah, dan nama sa-orang ini Nila Pahlawan, dan yang sa-orang ini Karna Pandita; dan pedang kami ini Churik Semandang Kini nama-nya, dan lembing kami ini Lembuara nama-nya, yang satu ini Chap Kayu Kempa nama-nya, dan apabila memberi surat pada Raja-Raja Chap ini-lah di-chapkan."


"De Hikayat Atjeh" :-

"Kata yang bercheritera : ada pun Seri Sultan Perkasa Alam Johan Berdaulat itu daripada pehak asal nasab baginda Raja yang mendapat Puteri anak beludari yang berdarah puteh yang raja ke-inderaan itu turun-temurun daripada nasab dan bangsa Raja Iskandar Zulkarnain; dan daripada asal nasab dan bangsa yang daripada Puteri beludari yang berdarah puteh dan Raja ke-inderaan daripada nasab dan bangsa Maha Bisnu yang Raja diRaja ke-inderaan. Kerana bahawa Dasarata Maharaja itu pada suatu zaman, mendapat perbundai Seri Rama bernama Puteri Mandudari pada perdu buloh betong dan bahawa moyang Seri Sultan Perkasa Alam bernama Raja Shah Muhammad pun pada suatu zaman mendapat Puteri anak beludari yang berdarah puteh yang Raja ke-inderaan pada perdu buloh betong jua."

"Bustanus Salatin" (Taman Segala Raja-Raja) :-

"Maka pada masa yang berbahagia dan pada ketika yang mulia, maka Paduka Seri Sultan Iskandar Thani Allauddin Ma'ayat Shah pun datanglah dari negeri Pahang ka-negeri Acheh Darul Islam. Tatkalaitu, ada-lah umor baginda tujoh tahun. Demi di-tilek Raja ISkandar Muda akan Sultan Allauddin Ma'ayat Shah, maka kelihatan-nya chahaya segala tanda kebahagiaan pada muka-nya dan segala sifat yang tiada terperi kepujian-nya. Maka di-ketahui Raja Iskandar Muda ada-lah dengan ilmu firasat-nya bahawasa-nya ia-lah Raja Al-durja yang turun-temurun dan ia-lah yang termashor nama-nya pada segala alam dan ia-lah anak chuchu Raja Iskandar Zulkarnain. Maka sa-harus-nya-lah ia ku-ambil akan anak-ku."







ASAL-USUL ISKANDAR ZULKARNAIN

Bismillahir-Rahmanir-Rahim
Wa billahi nasta’in (billahi alaihi)

HIKAYAT Sultan Iskandar Zulkarnain. Segala puji bagi ALLAH Tuhan segala alam yang amat kuasa pada berlakukan qodrat-nya yang qadim, dan yang menutupi segala kechelakaan hamba-nya, yang Maha Murah. Ia yang tiada dapat meliputi ia segala hajat maharaja, ia daripada akan oleh segala budi dan bichara dan puji dengan segala bagai-bagai bahasa. Ia yang di-harap oleh segala hamba–nya pada menghilangkan segala maha tinggi. Ia daripada diliputi hamba-nya segala sifat-nya yang ada dapat di-sifatkan. Ia dengan di-mana dan tiada dapat di-tentukan dengan pehak. Ia jua Tuhan yang menghidupkan segala tulang yang luloh lentak, dan ia juga yang mengetahui yang telah lalu dan yang akan datang. Kami puji ia bahawa-nya di-permulia-nya kami dengan segala bini kami dan segala kekaseh kami dan segala yang shahid dan salah lagi akan datang. Akhir kami akan kau jadikan.
............. 


RAJA ISKANDAR ZULKARNAIN DI-LAHIRKAN

KATA sahibul hikayat, sa-bermula anak Raja Rom Puteri Safiya Arqiya tiada pun selang dua bulan pada ayah-nya, maka ketahui-lah ia bahawa ia hamil. Maka sukachita-lah ayah-nya. Maka ujar-nya. “Hai anak-ku, terlalu bahagia-lah kau bahawa aku pun tiada beranak laki2 akan ganti kerajaan-ku. Pada sekarang ini, ada-lah oleh-nya dia di-anugerahkan ALLAH anak-mu akan naik kerajaan. Kemudian daripada aku – Insha’ ALLAH Ta’ala, apabila jadi anak-mu laki2, ku-katakan kapada segala negeri bahawa ia anak-ku daripada isteri-ku yang lain, supaya akan warith kebajikan kerajaan daripada aku”.
            Takdir ALLAH Ta’ala maka sa-telah genap-lah adat bulan-nya, maka jadi-lah dengan Tuan Puteri Safiya Arqiya laki-laki saperti bulan purnama laku-nya. Maka sukachita-lah Raja Qilas melihat dia. Sa-bermula Tuan Puteri Safiya Arqiya bernazar daripada sangat suka-nya akan semboh penyakit-nya. ‘ Apabila jadi anak-ku ini, ku-namai dengan nama daun kayu ubat-ku itu.’ Maka di-namai-nya anak-nya itu Iskandar. Maka Raja Qilas pun menyuroh menghias mahligai, bersuka2an dan menyuroh memalu segala bunyi2an dan mahshor-lah bahawa anak-nya laki2 jadi. Maka bersuka2an-lah segala ra’ayat itu ada-nya.
............. 


NABI KHIDIR MENYELAMATKAN RAJA ISKANDAR

Kata sahibul hikayat, maka ada-lah berapa lama-nya Raja Iskandar dalam pekerjaan yang sesat itu dengan takdir ALLAH, maka turun wahi kapada Nabi Khidir menyurohkan dia pergi kapada Raja Iskandar memberi dia tahu bahawa ALLAH Ta’ala menganugerahi dia kerajaan Mashrik, Maghrib, dan di-jalani-nya segala tempat yang tiada pernah di-jalani-nya oleh manusia dan bahawa ALLAH Ta’ala menaongi dia daripada seteru-nya. Maka pergi-lah Nabi Khidir kapada Raja Iskandar daripada pulau tempat-nya diam berbuat ibadat itu, dan berjalan ia di-atas laut saperti berjalan di-atas bumi. Sa-telah datang-lah kapada Raja Iskandar maka dudok ia diam semayam dengan ra’ayat-nya yang mengadap raja. Maka di-dengar-nya daripada mereka itu kata yang tiada berkenan kapada ALLAH. Maka sakit hati-nya mendengar dia, tiada dapat ia sabar menahani hati-nya.
.............  
(Petikan daripada Kitab Hikayat Iskandar Zulkarnain)










Raja Iskandar Zulkarnain

Menurut yang empunya cherita ia adalah anak kepada Raja Darab Rumi, Raja Qilas dan Raja Dawab Parsi. Suatu sumber yang lain pula mengatakan bahawa ia anak Raja Qilas dengan Tuan Puteri Safiya Arqiya. Nama Iskandar timbulnya dari nama daun kayu yang digunakan untuk mengubati penyakit Tuan Puteri Safiya Arqiya. Waktu berperang mempertahankan kerajaan-nya, saudara-nya Raja Dara telah terbunoh. Dalam menyibarkan ugama Islam ia di-bantu oelh Nabi Khidir A.S. Ia berhasil mengIslamkan seluroh negara dari Mashrik hingga ke Maghrib dan pada akhir pengembaraan-nya ia berkahwin dengan Puteri Noraini.




Raja Iskandar Zulkarnain yang dikisahkan didalam Al-Quran (Surah Al-Kahf ayat 83 - 98)

[83]
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:  
[84]
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.  
[85]
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).  
[86]
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.  
[87]
Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.  
[88]
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.  
[89]
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.  
[90]
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.  
[91]
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.  
[92]
kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.  
[93]
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.  
[94]
Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”  
[95]
Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.  
[96]
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.  
[97]
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.  
[98]
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”. 

(Petikan terjemahan ayat Al-Quran ini diambil dari laman web http://www.alquran-melayu.com/)



1 comment: