TOK KENALI atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad (1868 – 1933) ialah seorang tokoh ‘Ulama’ Ulung, guru agama Islam yang agung, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia dan pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara khususnya, di awal abad ke-20. Beliau seorang Alim Rabbani yang dalam hidupnya banyak berpandukan kitab Suci Al-Quran disamping Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Beliau disebut juga sebagai seorang yang memilih hidup sederhana dan juga seorang Wali Keramat dan mendapat ilham daripada Allah dan Ilmu Laduni (Ilmu Kurniaan Ilahi tanpa belajar).
Tok Kenali wafat pada umurnya 65 tahun pada hari Ahad 19 November 1933M, berikutan suatu penyakit di kakinya. Pada hari tersebut tidak kurang daripada 2,500 orang datang menziarahinya dan jenazah beliau disembahyangkan lebih daripada 1,000 orang. Tok Kenali dimakamkan di tanah perkuburan yang sekarang dikenali dengan nama Kubur Tok Kenali yang terletak di kilometer 5 Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu tidak jauh dari Istana Negeri Kelantan.
Tok Kenali bukan hanya terkenal sebagai salah seorang ulamak besar sahaja, malah terkenal pula sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat Islam. Antara sifat-sifat tersebut ialah:
- Sangat menghormati dan memuliakan ibu
- Pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan anak-anak.
- Seorang yang sabar, tidak lekas marah.
- Suka berjalan kaki sahaja sebagai suatu langkah latihan melenyapkan perasaan sombong, bongkak dan megah.
- Mengamalkan hidup berdikari dimana Beliau sendiri membeli di pasar.
- Suka membaca dan menatap, baik buku-buku atau majalah-majalah di mana-mana sahaja beliau berada.
- Suka beriktikaf di masjid, manakala tidur kerap berbantalkan lengan.
- Pakaian beliau amatlah sederhana.
Sebenarnya Tok kenali ialah seorang “wali” atau seorang sufi disebabkan berlaku perkara luar biasa pada dirinya dan tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup yang berlebihan. Tambahan pula Beliau senantiasa memandang makhluk-makhluk/hamba-hamba ALLAH yang lain dengan pandangan yang penuh bertimbang rasa dan belas kasihan.
Tidaklah menjadi keterlaluan jika dikatakan bahawa Tok Kenali adalah salah seorang tokoh ulama terkenal dan juga boleh dikatakan selagi wujudnya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan maka selagi itulah Tok Kenali masih disebut dan dikenali orang.
Antara kata-kata hikmatnya:
“orang yang mulia itu ialah orang yang memuliakan ibunya”
“mengkaji sendiri adalah punca kemajuan dalam pembelajaran”,
(Petikan dari laman Web Wikipedia)
No comments:
Post a Comment