Tuesday, 18 December 2012

23 - SAIDINA IMAM HUSSEIN R.A SYAHID AGUNG




Suatu malam Ummi Fasal bermimpi, aneh sekali. Dalam mimpinya ia melihat, bahawa ada bahagian dari badan Baginda Rasulullah S.A.W, terbang melayang akhirnya hinggap dipangkuannya. Ummi Fasal merasa negeri, terkejut dan tersentak bangun. Rasa takut mengganggu dirinya, sehingga semalaman tidak dapat tidur lagi. Ummi Fasal resah gelisah diganggu mimpinya itu. Apakah gerangan tadbir mimpinya itu?

Keesokan harinya Ummi Fasal pergi menceritakan mimpinya kepada Baginda Rasulullah S.A.W, mendengar akan cerita itu Baginda Rasulullah S.A.W berkata: “Ummi Fasal! Jangan khuatir itu mimpi yang baik, Ummi Fasal akan bahagia memangku seorang bayi yang akan dilahirkan oleh anakku Fatimah”.

Akhirnya hari bahagia yang dinanti-nantikan itu datang jua. Pada tanggal 5 Syaban tahun 4 Hijrah, Saidatina Fatimah Az-Zahrah melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya cantik molek, sehingga mempesona setiap orang yang datang menengoknya.

Beberapa hari kemudian Ummi Fasal membawa putera kesayangan ini kepada Baginda Rasulullah S.A.W, dan meletakkannya dalam pangkuan Baginda. Rasa bahagia kembali memenuhi kalbu Baginda Rasullullah S.A.W, Baginda mula mencium, mengulas, membelai serta menepuk-nepuk halus badan cucunya dengan telapak tangannya. Tiba-tiba air mata Baginda mulai bergenang, laksana lubuk yang terbendung. Air mata ini memenuhi kedua mata Baginda.

Ummi Fasal heran tercengang melihat Baginda menangis dalam bahagia dan berkata: “Ya Rasulullah. Kenapa Ya, Rasulullah bergenangan air mata?”

“Kerana…O, kerana, kenapa aku takkan sedih…” kata Baginda Rasulullah S.A.W

“Baru sebentar ini Jibrail datang menjelma mendekat daku. Diterangkannya, bahawa pengikut-pengikutku sendiri akan membunuh cucuku ini. Jibrail telah memperlihatkan kepadaku tanah tempat cucuku ini akan disembelih. Tanahnya merah mendarah”.

.............

Kecintaan Baginda Rasulullah S.A.W Kepada Kedua-dua Cucunya.

Baginda mencintai kedua-dua cucunya dengan sepenuh hatinya. Kasih saying Baginda ini tidak mengenal batas. Semaki dipandangnya akan kedua-dua cucunya, semakin senang rasa hatinya. Alangkah besarnya nikmat ALLAH yang telah menciptakan kedua insan kecil yang bisa memberikan kebahagiaan dalam hatinya.

Pada suatu malam Usamah bertamu kerumah Baginda. Seperti biasa Baginda menyongsongnya kemuka pintu. Baginda memangku sesuatu yang dibungkus dengan kain. Baginda dan Usamah beberapa lama bercakap-cakap. Hanya Usamah sekali-sekala melirik kepada bungkusan yang dipangku Baginda. Sewaktu hendak pulang Usamah yang ingin tahu, bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulullah, bungkusan apakah yang tidak pernah lapas dari pangkuan Ya Rasulullah itu?” Perlahan-lahan Baginda membuka kain penutup bungkusan itu. Usamah melihat HASSAN dan HUSSEIN, berbaring tenang dibawahnya, dan Baginda berkata: “Wahai Usamah, kedua anak ini putera Fatimah. Ya ALLAH, Ya Rabbi, kasih sayangku tertumpah kepada kedua cucuku ini. Aku harap demi ALLAH saudara pun akan mencintai mereka ini, seperti mereka itu mencintai kita juga”.

.............

Kata-kata Perpisahan Seorang Ayah

Serangan pembunuhan atas diri Saidina Ali Kwjh terjadi pada 19 Ramadan dan Saidina Ali wafat pada tanggal 21 bulan itu. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Saidina Ali memanggil Hassan dan Hussein dan memberi amanat sebagai berikut:

“Aku ingin kamu senantiasa bertaqwa kepada ALLAH. Janganlah kamu merasa kecewa, kerana kamu tidak biasa memperoleh sesuatu yang kamu inginkan. Berbaik-baiklah dengan orang lain. Bantulah orang yang lemah melawan orang yang menindasnya”.


........Bersambung

(Petikan-petikan dari Novel Karya Prof. Fazl Ahmad - Husein Syahid Agung)


Saidina Imam Ali Kwjh (r.a) berkata:
Beruntunglah orang-orang yang zuhud di dunia dan cintakan akhirat. Mereka adalah orang yang menjadikan bumi sebagai hamparan, debunya sebagai tilam , airnya sebagai wangian, Al-Quran dan Do'a sebagai selimut dan Syi'ar.

Wednesday, 21 November 2012

22 - GURINDAM DUA BELAS12 RAJA ALI HAJI



Gurindam I

Ini gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang ma'rifat
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudarat.


Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut,
tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.


Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.


Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh,
jikalau zalim segala anggota pun roboh.
Apabila dengki sudah bertanah,
datanglah daripadanya beberapa anak panah.
Mengumpat dan memuji hendaklah pikir,
di situlah banyak orang yang tergelincir.
Pekerjaan marah jangan dibela,
nanti hilang akal di kepala.
Jika sedikitpun berbuat bohong,
boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.
Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.
Bakhil jangan diberi singgah,
itupun perampok yang amat gagah.
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketur.
Di mana tahu salah diri,
jika tidak orang lain yang berperi.


Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.
Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi,


Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah tanda hampir duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.
Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.
Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.
Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.
Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.


Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan engkau percaya.
Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar pada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
kebaikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
keaiban diri hendaklah sangka.


Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik,
tetapi dikerjakan,
bukannya manusia yaituiah syaitan.
Kejahatan seorang perempuan tua,
itulah iblis punya penggawa.
Kepada segaia hamba-hamba raja,
di situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan orang yang muda-muda,
di situlah syaitan tempat berkuda.
Perkumpulan laki-laki dengan perempuan,
di situlah syaitan punya jamuan.
Adapun orang tua yang hemat,
syaitan tak suka membuat sahabat
Jika orang muda kuat berguru,
dengan syaitan jadi berseteru.


Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
Dengan anak janganlah lalai,
supaya boleh naik ke tengah balai.
Dengan isteri dan gundik janganlah alpa,
supaya kemaluan jangan menerpa.
Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.


Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.
Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
buanglah khianat.
Hendak marah,
dahulukan hujah.
Hendak dimulai,
jangan melalui.
Hendak ramai,
murahkan perangai.


Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja mufakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati,
itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata,
kepada hati yang tidak buta.




Thursday, 28 June 2012

21 - HIKMAT AZIMAT KERAMAT PENAMAT ILMU MELAYU



Maka Hang Tuah pun berkata pada Hang Kasturi dan segala sahabatnya, "Hai saudaraku keempat, baiklah, kita kelima mari kita pergi berguru. Ada seorang di bukit ini; ia bertapa, Sang Aria Putera namanya. Adapun kita ini pada firasat orang tua-tua akan jadi Hulubalang di tanah Melayu." Maka kata Hang Jebat dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, "Baiklah." Maka kelimanya pun berlengkap akan berjalan dan bermohon pada ibu bapanya, lalu berjalan.

Berapa antaranya maka Hang Tuah pun sampailah kepada tempat Sang Aria Putera. Tatkala itu Sang Aria Putera pun sudah turun dari pertapaan. Maka Hang Tuah kelima bersahabat pun datang, lalu duduk menyembah. Maka ditegur oleg Sang Aria Putera, "Marilah cucuku duduk; apa pekerjaan cucuku datang padaku ini?" Maka kata Hang Tuah, "Sahaya hamba-hamba datang ini minta diperhambai," Maka Sang Aria Putera pun tahulah akan kehendak Hang Tuah itu. Maka kata Sang Aria Putera, "Hai cucuku Hang Tuah, aku ini tiga bersaudara; yang muda menjadi pegawai, Raden Aria Sina, di Majapahit; yang tua itu duduknya bertapa di Gunung Wirana Pura; namanya Sang Persata Nala. Adapun cucuku, kala datang umur-umur dua puluh tiga tahun, engkau pergi ke saudaraku itu banyak ilmunya daripadaku, kerana ia dari kecil bertapa, tiada ia merasa dunia."

Maka Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu pun diajarnyalah oleh Sang Aria Putera, bagai-bagai ilmu isyarat Hulubalang dan firasat dan ilmu penjurit, tetapi lebih jua Hang Tuah diajarnya barang ilmu dan isyarat. Setelah sudah, maka Aria Putera pun berpesan pada Hang Tuah. "Hai cucuku, jika engkau pergi ke Majapahit kelak, jangan tidak engkau berguru pada saudaraku bernama Sang Persata Nala itu, terlalu banyak tahunya daripada aku. Ia menjadi ajar-ajar, tiada ia merasai dunia.


Tuesday, 5 June 2012

20 - PUSAKA KERIS MELAYU


Keris Pusaka


Sekiranya kita membicarakan tentang adat-resam dan kebudayaan Melayu seperti mana adat-istiadat Pertabalan dan kebesaran Raja-raja Melayu maka Keris merupakan salah satu elemen yang sangat terpenting sekali sehingga ianya tidak dapat diketepikan secara langsung akan peranannya didalam adat-istiadat budaya Melayu itu sendiri. Keris juga melambangkan keunggulan dan kewibawaan Melayu yang bukan sahaja sebagai senjata pada Ilmu Persilatan itu sendiri malah ianya juga meliputi kepada kuasa-kuasa ghaib, mistik dan magis. Banyak bahan-bahan cerita lisan dari orang-orang lama mahupun hikayat-hikayat ataupun kitab Melayu lama menceritakan akan perihal Keris. Pada abad ini Keris boleh diletakkan dalam beberapa kategori:

- Keris Semenanjung


     - Keris Sumatera
 
     - Keris Jawa

     - Keris Bugis


     - Keris Bali dan Madura


     - Keris Sundang atau Sulu

     - Keris Pekaka 


Tak Melayu Kalau Tak BerKeris,
Ibarat
Tak Berketurunan Kalau Tak BerWaris,
Kerna
Diberi tanah habis digadaikannya,
Diberi duit nanti habis dijolinya pula,

Maka diberi Keris itu sebagai tanda keJantanan dan keMelayuannya,
Sebagai tanda untuk meneruskan perjuagan yang belum selesai,
Sebagai tanda memperingati kewujudan keturunannya,
Maka jadikanlah Keris sebagai tanda Pusaka kewujudan Melayu kepada anak cucu kita.


Kisah Perihal Akan Besi

A025
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.


 

Sunday, 3 June 2012

19 - SALAWAT, SELAWAT, S0LAWAT (الصلوات‎)


A056
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Al-Ahzaab 33:56)


Daripada Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من صلى علي واحدة صلى الله عليه عشرا

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali. (Hadis Riwayat Ahmad)

Daripada Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من صلى علي مرة واحدة كتب الله له بها عشر حسنات

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad)

Daripada ‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إن أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم الناس علي صلاة

Terjemahan: Sesungguhnya orang yang paling aula (utama) bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Daripada ‘Amir B. Rabi’ah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

ما من عبد يصلي علي إلا صلت عليه الملائكة ما دام يصلي علي فليقل العبد من ذلك أو ليكثر

Terjemahan: Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. 
(Hadis Riwayat ath-Thabrani)

Daripada ‘Abdullah B. ‘Amr B. Al-Ash radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:

من صلى علي أو سأل لي الوسيلة حقت عليه شفاعتي يوم القيامة

Terjemahan: Sesiapa yang berselawat kepadaku atau memohon wasilah untukku, nescaya dia berhak mendapat syafa’atku pada hari Kiamat. (Hadis Riwayat Ismail B. Ishaq)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: “Terhinalah orang yang di ketika namaku disebutkan padanya, tetapi dia tidak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Timirdzi)

Daripada al-Husin B. ‘Ali B. Abu Tholib radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Terjemahan: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (Hadis Riwayat Ahmad)

Daripada Husin B. ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

من ذكرت عنده فنسي الصلاة علي خطىء طريق الجنة

Terjemahan: Sesiapa yang terlupa berselawat untukku di ketika namaku disebut padanya, maka dia telah menyimpang dari jalan menuju Syurga. (Lihat: as-Silsilah ash-Shohihah)




اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ


Thursday, 31 May 2012

18 - BEBAN PIKUL ITU AMAT-LAH BERAT


Beban-pikul itu amat berat ibarat berenang di tengah lautan yang terbentang luas, 


maka bertemu dengan seekor naga; 



maka hendak berpegang pada naga itu akan mati di telan-nya, 


hendak tidak berpegang pula akan terlemas dalam lautan dalam.
(Petikan daripada majalah Silat karya seni Penjurit-Kepetangan Melayu)




"bukan barang barang hulubalang; penjurit kepetangan juga orang nya"
Sang Winara Jaya.

Sunday, 27 May 2012

17 - TABAT



Alkisah cerita ini berawal dari sebuah padepokan atau pondok pesantren di daerah Purwodadi Jawa Tengah. Di pesantren tersebut tinggalah seorang Kiyai yang memiliki seorang Puteri berserta para santri yang sedang menimba ilmu agama. Salah seorang santri yang mengabdikan diri di pondok tersebut merupakan seorang pemuda yang sangat bodoh. Bertahun-tahun lamanya pemuda tersebut belajar ilmu agama tetapi tidak ada satu pun ilmu yang ia dapat dek kerana kebodohannya itu,  melainkan hanya sepotong ayat dari Surah Al-Lahab yang berbunyi “Tabat Yada”. Maka dari situlah ia dipangil “Si Tabat”. Walaupun bodoh, Si Tabat ini adalah seorang santri yang sangat patuh kepada Sang Guru yakni Kiyai tersebut. Apa pun perintah dari Sang Guru pasti akan ia laksanakan tanpa berfikir panjang.
Pada suatu ketika Sang Puteri Kiyai tersebut mendapat sakit yang aneh. Bertahun-tahun berobat kesana-kemari ke orang-orang pintar, tabib dan dukun tetapi tidak jua kunjung sembuhnya. Maka Sang Kiyai pun berasa hampir putus asa diatas nasib yang menimpa Puterinya. Akhirnya Sang Kiyai pun berdoa memohon petunjuk kepada ALLAH S.W.T agar diberi petunjuk untuk kesembuhan Puterinya. Ketika saat Sang Kiyai sedang tidur, ia bermimpi ada satu suara yang mengatakan “Jika Sang Puteri ingin sembuh maka yang mengetahui akan ubatnya adalah Nabi Khidir A.S. Setelah terbangun Sang Kiyai merasa bingung terhadap mimpinya semalam dan beliau berfikir bagaimana caranya untuk mencari Nabi Khidir dan siapakah yang layak untuk mencarinya.


Setelah berfikir dengan mendalam akhirnya Kiyai tersebut memanggil Si Tabat untuk menghadapnya dan diberi tugas untuk mencari Nabi Khidir. Karena kepatuhannya Si Tabat tanpa berfikir panjang langsung menerima apa sahaja yang diamanatkan dari Gurunya tanpa mengetahui siapa dan dimanakah Nabi Khidir. Setelah mendapat amanat tersebut Tabat langsung pergi mencari Nabi Khidir, tetapi saat keluar dari pesantren Tabat kembali lagi menemui Sang Kiyai. Karena kebodohannya Tabat baru menyadari siapa dan dimanakah orang yang harus dicarinya. Akhirnya Sang Kiai menjelaskan siapakah Nabi Khidir itu. Dan Sang Kiyai berkata “Jika kamu ingin mencari Nabi Khidir maka kamu harus menyusuri sungai hingga nanti akan kamu bertemu dengan seseorang yang memakai jubah putih. Setelah bertemu dengan Nabi Khidir nanti kamu harus bertanya apakah ubat yang dapat menyembuhkan Puteriku daripada penyakitnya yang aneh itu”. Setelah mendapatkan penjelasan dari gurunya itu Tabat pun langsung berangkat dengan menyusuri sungai mencari Nabi Khidir. 


Maka bertahun-tahun Si Tabat berjalan menyusuri sungai tersebut dalam mencari Nabi Khidir. Ketika di tengah perjalanan Tabat melewati sebuah Perkuburan Lama. Pada saat itu jualah dia terdengar akan suara tanpa rupa yang memanggilnya. “Tabat kamu mahu kemana nak?”. Tabatpun langsung menjawab “Siapa kisanak? Aku mau mencari Nabi Khidir”.  Suara itu menjawab “Aku orang yang berada di dalam kuburan ini. Kebetulan sekali nak, bolehkah aku meminta tolong kepadamu?.”  Ternyata orang yang ada di dalam kubur tersebut adalah seorang yang alim, tetapi saat dia di dalam alam kubur selalu disiksa.  Dan ia ingin meminta tolong kepada Tabat jika bertemu dengan Nabi Khidir agar ditanyakan mengapa dia disiksa. Si Tabat pun langsung bersetuju dengan permintaan seorang di dalam kubur tersebut.

Tabat pun melanjutkan perjalanan menyusuri sungai dan di tengah perjalanan dia bertemu dengan sepohon Mangga yang besar. Pohon mangga itu pun juga berbicara pada Tabat dan memohon agar ditanyakan kepada Nabi Khidir. “Mengapa buah manggaku tidak pernah diambil dan dimakan  orang?” Tabat pun juga bersetuju diatas permintaan pohon mangga itu.


Tabat pun melanjutkan pencariannya lagi dan di tengah perjalanan ia menjumpai sebuah Sumur Tua dan anehnya sumur tua itu pun berbicara kepadanya serta memohon pertolongan jika bertemu dengan Nabi Khidir untuk ditanyakannya “Mengapa air didalam sumurku ini tidak pernah diminum orang?”. Tabat pun bersetuju diatas permintaan sumur tua itu dan menjawab “Ya”.


Setelah bertahun-tahun menyusuri sungai, akhirnya usaha Tabat membuahkan hasil. Ia menjumpai seorang Tua yang memakai jubah putih bersih. Tabat pun menghampiri dan bertanya “Adakah Kisanak Nabi Khidir?”. Ternyata orang tua yang berjubah putih itu adalah Nabi Khidir. Tabat pun langsung menangis dan bersujud karena bersyukur kepada ALLAH setelah usahanya di perkenankan.
Tabat langsung menyampaikan amanat dari Sang Kiyai bahawa Sang Kiyai ingin meminta petunjuk untuk penyakit puterinya. Nabi Khidir pun menjawab dan memberi petunjuk jika Sang Puteri itu ingin sembuh dari penyakitnya maka dia harus dinikahkan. Karena kebodohannya, Tabat langsung menerima jawapan tersebut tanpa bertanya dengan siapa Puteri itu harus bernikah.
Setelah itu Tabat menyampaikan pesan permasalahan  dari Orang yang berada di dalam kubur itu, pohon mangga dan sumur tua. 
Nabi Khidir menjawab “Sebenarnya orang yang berada di dalam kubur itu adalah seorang Ulama, karena ia memiliki ilmu tetapi tidak pernah disampaikan kepada orang lain maka di dalam kubur arwahnya menjadi tidak tenang. Jika orang itu ingin bebas, maka suruh lepaskan ilmunya kepadamu Tabat. maka ia akan menjadi tenang di alam kubur”.


“Mengapa pohon mangga buahnya tidak pernah di ambil orang walhal buahnya besar-besar. Hal itu dikarenakan di dalam pohon mangga itu terdapat Pusaka yang ampuh. Jika ingin buahnya diambil dan dimakan orang. Maka ambillah pusaka itu.”


“Yang terakhir mengapa sumur itu airnya tidak pernah diambil orang. Itu karena di dalam sumur itu terdapat sebuah emas. Jika ingin airnya diambil oleh orang maka suruh sumur itu serahkan emasnya kepadamu.”


Setelah mendapatkan amanat dari Nabi Khidir, Tabat langsung memohon untuk kembali pulang. Setibanya ia di sumur tua Tabat menyampaikan apa yang diamanatkan Nabi Khidir. Akhirnya diberikanlah kepada Tabat emas yang ada didalam sumur itu. Setelah menemui Mangga diberikanlah pusaka ampuh dari pohon mangga itu. Setelah sampai dikuburan diberikanlah tabat ilmu dari ulama itu. Akhirnya Si Tabat manjadi orang yang Pandai, Kaya dan Sakti.
Setelah bertahun-tahun berkelana akhirnya Tabat tiba di Pesantren. Semua orang tidak mengenalinya karena Tabat terlihat bagaikan seorang yang pandai berpendidikan, sopan dan santun. Berbeda dengan tabat beberapa tahun yang lalu. Bahkan gurunya Sang Kiyai pun tidak juga mengenalinya karena perubahan Si Tabat. Akhirnya setelah Tabat menceritakan apa yang terjadi akhirnya Kiai pun terharu akan diri Tabat yang ada sekarang. Sang Kiyai dan para teman-teman santrinya tidak menyangka setelah kembali Tabat menjadi seorang yang pandai, kaya dan sakti. Tabat juga menyampaikan ubat untuk kesembuhan Puteri Kiyai iaitu agar Sang Puteri dinikahkan. Tetapi Kiyai bertanya dengan penuh rasa ragu “Kepada siap harus kunikahkan Tabat?” Tabat pun juga tidak tahu kepada siapa harus dinikahkan. Karena Si Tabat yang berjasa dan dapat menemukan Nabi Khidir akhirnya Tabat dinikahkan dengan Puteri Kiyai tersebut. Akhirnya Sang Puteri pun sembuh dan menjadi isteri Tabat serta hidup bahagia.
Karena kepatuhan terhadap guru dan orang tua akan mendatangkan berkah.

Itulah sepenggal cerita yang saya kutip saat menghadiri Pengajian Akbar dalam rangka Khoul Manakib Syeikh Abdul Khodir Al-Jaelani dan KH. Jauhari Umar di Pasutuan Jawa Timur.

(Petikan dari laman blog : by bemby : http://bembiz.wordpress.com/2010/04/26/si-tabat-yang-bodoh/)

Purwodadi adalah nama tempat yang populer dalam bahasa Jawa. Dalam ejaan latin bahasa Jawa, "purwodadi" ditulis sebagai "purwadadi" ("purwa" dan "adi") yang berarti "awal yang besar/agung".

Thursday, 17 May 2012

16 - DATOK HULUBALANG "AKI" MAT KILAU


Mat Kilau (1847 - 1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu atau T0k Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.[perlu rujukan] Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai "Dikir Pahang". Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.[perlu rujukan]
Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, dari Kampung Kedondong. Imam Daud adalah seorang guru agama yang disegani di daerah Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakanya. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj.Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua K0ta Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut beberapa pendapat orang-orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan, selain dipercayai menjadi kediaman para jin islam.[perlu rujukan]

Sejarah perjuangan


Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa T0k Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Pawang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.[perlu rujukan]

Buruan British

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dat0 Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.[perlu rujukan]

Keluar dari persembunyian


Dalam bulan Disember 1969, Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, YAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.

(Sumber dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Mat_Kilau)

"Cu Aki pilih untuk berSolok tidur"



A011
"(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

(Nuh 71:11)


Banjir Besar 1971 Kuala Lipis, Pahang


Banjir Besar 1971 Kuala Lumpur,

Saturday, 5 May 2012

15 - ISIM PUSAKA KERAMAT ILMU HULUBALANG

Hulubalang Gelaran DarjatKu,


KeInderaan Asal KeturunanKu,


Bukit Seguntang Tanda KeramatKu,

Gunung Daik Isim IlmuKu, 

Keris *** Pakaian KesaktianKu,


Nusantara Itulah Daulat MelayuKu.


(0leh : Tengku Panglima ..... Alauddin Saifullah)

Thursday, 3 May 2012

14 - SEDARLAH WAHAI UMAT MUHAMMAD S.A.W

Usahlah kamu Percaya dengan apa yang kamu Lihat,



Dan janganlah juga kamu Percaya dengan apa yang kamu Dengar,


Tetapi Percayalah dengan apa yang kamu Rasa (Al-Quran, Rasullullah S.A.W, ALLAH S.W.T),


Kerana setiap Rasa itu adalah Rahsia,
Dan Rahsia itu adalah R0hsia,


Kerana ALLAH jualah yang mengetahui segala sesuatu yang Zahir mahupun yang Batin,



(Oleh :  Tuan Sheikh Muhammad Rosul Al-Ayubi)
 
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).

Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
(Al-Baqarah 2:171)

Tuesday, 1 May 2012

13 - PUSAKO RAJO

Mambang Segara Jajahan TaklukKu,


Rajawali Tunggangan KeramatKu,


Naga Jelmaan Panglima PertapaKu,


Gong Itu Lambang KebesaranKu,



Pagar Ruyung Itu Asal IlmuKu,


Tiang Pasak Tergantung Itulah DaulatKu.


Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM)


(0leh : Tengku Panglima ..... Alauddin Saifullah)